Monday 22 August 2011

Langkah-langkah dan kesan budaya membaca



Bangsa membaca bangsa berilmu sering menjadi cogan kata sesuatu majlis ilmu tetapi rakyat negara ini masih terbelakang dalam aspek pembacaan. Kita dikatakan hanya membaca satu buku sahaja setahun.
Terangkan langkah-langkah untuk meningkatkan minat membaca dan kesan-kesan positif yang timbul daripada pembacaan ini.
Masyarakat kita memang tidak suka membaca kerana menganggap aktiviti ini sebagai membosankan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat negara ini hanya membaca sebuah buku setahun berbanding negara-negara lain yang boleh mencecah 8 buku setahun. Keadaan ini sudah pasti amat memalukan kita semua kerana ketika kita mahu dianggap sebuah negara maju, kadar pembacaan kita terlalu rendah. Agaknya elok kita menilai keutamaan kita dalam menjalani kehidupan seharian.
Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani kemelut ini ialah kerajaan menurunkan harga buku terutama buku ilmiah. Penurunan harga ini membolehkan lebih ramai membeli dan dapat membaca. Harga buku yang rendah turut menyebabkan seseorang dapat membuat rujukan lebih banyak buku terhadap sesuatu perkara. Ketika ini, harga buku yang terlalu mahal menyebabkan masyarakat menganggap membeli buku sebagai satu kerja membazir dan berbau golongan atasan.
Tambahan itu, kerajaan harus memberikan banyak insentif kepada penerbit atau syarikat buku untuk menghasilkan lebih banyak buku. Insentif dalam bentuk pengecualian cukai, keuntungan dan pemberian permit penerbitan harus diberikan tanpa sebarang gangguan birokrasi. Pemberian ini akan menyebabkan lebih banyak penerbit baru muncul kerana mereka yakin perniagaan mereka akan mengaut keuntungan.
Selain itu, pembukaan lebih banyak pembukaan perpustakaan akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membaca. Kewujudan perpustakaan menyebabkan seseorang senang untuk mendapatkan ruang untuk membaca. Tiada lagi alasan untuk tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan terutama di kawasan pedalaman. Perpustakaan bergerak juga harus ditambah dengan drastik kerana perpustakaan ini mampu menjalankan peranannya dengan berkesan terutama di kawasan yang padat penduduk dan terlalu jauh.
Kesan positif yang timbul ialah seseorang yang banyak membaca itu akan mengetahui banyak perkara baru. Ilmu yang mereka peroleh dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran berfikir seseorang turut meningkat dengan baik. Mereka juga mampu melihat dan membandingkan sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam dan objektif. Keadaan ini memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang betul dalam tindakan mereka.
Manakala pembacaan untuk pelajar memudahkan mereka untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Pembacaan yang mendalam menyebabkan pelajar itu memahami sesuatu perkara dengan lebih meluas. Idea dan kebolehan untuk memahami sesuatu soalan berkait rapat dengan kadar pembacaan seseorang pelajar tersebut. Kejayaan sudah pasti akan mereka peroleh dalam peperiksaan yang diduduki oleh mereka.
Kesimpulannya, pembacaan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Membaca juga perlu dijadikan aktiviti sihat bersama-sama keluarga. Ibubapa harus memberi teladan yang jelas dalam aspek ini kerana biasanya anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tua mereka. Mungkin selepas ini kita semua akan membaca?

0 comments: